ARAU – Kepimpinan berintegriti, komunikasi berkesan dan kerjasama strategik dengan pihak pengurusan universiti perlu menjadi keutamaan barisan kepimpinan pelajar bagi memastikan aspirasi serta kebajikan mahasiswa Universiti Malaysia Perlis (UniMAP) terus diberi perhatian.

Naib Canselor UniMAP, Datuk Prof. Ts. Dr. Zaliman Sauli berkata, pemimpin pelajar perlu bertindak sebagai rakan strategik universiti dengan membina hubungan kerjasama erat bersama pihak pengurusan, selain menjadi penghubung dalam menyampaikan suara dan keperluan mahasiswa.

Menurut beliau, perbezaan pandangan antara kepimpinan pelajar dengan pihak pengurusan universiti merupakan perkara biasa, namun kedua-dua pihak perlu mengutamakan komunikasi terbuka dan perbincangan secara konstruktif bagi mencari titik persamaan serta penyelesaian terbaik.