PUTRAJAYA: Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) meneliti tiga keutamaan dasar strategik bagi memacu pertumbuhan mampan serta memperkukuh daya tahan ekonomi negara dalam mendepani cabaran struktur dan ketidaktentuan ekonomi global.
Kementerian Ekonomi dalam satu kenyataan berkata, tiga keutamaan itu merangkumi pelaksanaan Rangka Kerja Ekonomi Kitaran (RKEK), pembangunan pusat data lestari serta pewujudan rangka kerja ketahanan ekonomi negara menerusi National Economic Resilience Framework (NERF).
Menterinya, Akmal Nasrullah Mohd Nasir, berkata pelaksanaan dasar yang diputuskan perlu dilaksanakan secara bersepadu, khususnya bagi meningkatkan kecekapan penggunaan sumber, memastikan pelaburan pusat data memberikan nilai tambah kepada ekonomi domestik serta memperkukuh kesiapsiagaan negara menghadapi kejutan ekonomi luaran.









