KUALA LUMPUR: Tenaga Nasional Bhd (TNB) menjalin kerjasama strategik dengan Pelabuhan Tanjung Pelepas (PTP), sebuah ahli MMC Group, bagi menyokong agenda penyahkarbonan Malaysia dan memperkukuh pematuhan terhadap keperluan kemampanan menerusi penggunaan tenaga boleh baharu yang lebih meluas di bawah program Tarif Elektrik Hijau (GET).

Kerjasama ini menggabungkan akses TNB kepada tenaga boleh baharu yang diperakui, bersama-sama dengan komitmen PTP untuk menyahkarbonkan operasinya, sekali gus menunjukkan cara infrastruktur nasional sedia ada dapat dimanfaatkan bagi membantu perniagaan mencapai matlamat kemampanan dan mengurangkan pelepasan karbon.

Di bawah kerjasama ini, PTP melanggan 16,000 blok GET, bersamaan 16 GWj tenaga hijau yang diperakui setiap bulan bagi tempoh Mei 2026 hingga Disember 2027.