Kuala Lumpur: Pelajar Universiti Malaya (UM), Ummi Umairah Bakhit mempertahankan pandangannya bahawa tindakan menderma wang hasil titik peluh untuk membantu golongan elit adalah perbuatan paling bodoh dan tidak bermoral.

Beliau turut menegaskan pendiriannya untuk tidak memohon maaf susulan mengemukakan kenyataan itu dalam Sidang Kemuncak Pemimpin Muda Masa Depan Antarabangsa di Kuala Lumpur baru-baru ini, sehingga mencetuskan perdebatan pelbagai pihak.

"Saya tetap mempertahankan soalan yang dikemukakan dan tidak akan memohon maaf. Ini kerana menderma wang hasil titik peluh sendiri kepada golongan elit sememangnya, ya, merupakan perbuatan yang paling bodoh dan paling tidak bermoral.

"Saya berharap lebih ramai orang mendapat keberanian untuk bersuara mengenai rasuah dan integriti tanpa rasa takut," katanya menerusi hantaran pada akaun Instagram miliknya, hari ini.