Kuala Lumpur: Pemain boling wanita negara, Natasha Roslan kini mengalihkan fokus kepada acara berpasukan pada Piala Dunia Persekutuan Boling Antarabangsa (IBF) di Munich, Jerman, selepas gagal mempertahankan gelaran juara perseorangan wanita, awal pagi tadi.
Bagi Natasha, dirinya sudah mencuba sebaik mungkin untuk mempertahankan gelaran itu. Biarpun tewas, dia tetap berpuas hati dengan pingat perak yang diraih dan akan cuba bangkit dalam acara seterusnya.
"Saya tidak berjaya mempertahankan gelaran juara, tetapi Alhamdulillah, saya membawa pulang pingat perak bagi acara perseorangan di Piala Dunia IBF di Jerman. Sasaran saya seterusnya adalah acara berpasukan. Insya-Allah, saya dan rakan-rakan akan memberikan yang terbaik serta mengharumkan nama Malaysia di persada dunia. Terima kasih kepada semua yang menyokong," katanya.






