SYDNEY: Australia memperkukuh keupayaan peperangan bawah laut dengan melengkapkan kapal selam autonomi Ghost Shark dengan kumpulan dron udara dan periuk api laut, menurut Kementerian Pertahanan negara itu pada Isnin.
Syarikat pemula teknologi pertahanan Amerika Syarikat (AS), Anduril bersama saintis pertahanan Australia membangunkan kapal selam tanpa pemandu bersaiz sangat besar itu. Syarikat berkenaan turut membina armada Ghost Shark untuk Canberra menerusi kontrak bernilai 1.8 bilion dolar Australia (RM5.12 bilion).
Australia, Britain dan AS yang bekerjasama menerusi pakatan AUKUS, berikrar tahun ini untuk membangunkan muatan yang boleh saling digunakan bagi dron dalam peperangan bawah laut, selain kerjasama membabitkan kapal selam berkuasa nuklear.








