Kuala Lumpur: Kesemua 3,000 rakyat Malaysia yang berdaftar dengan Kedutaan Malaysia di Perancis disahkan selamat ketika protes masih berlaku di negara itu.

Mengesahkan perkembangan itu, Duta Besar Malaysia ke Perancis, Datuk Eldeen Husaini Mohd Hashim, berkata setakat ini tiada rakyat Malaysia cedera atau terperangkap dalam protes yang dilaporkan bertukar ganas di beberapa lokasi sejak beberapa hari lalu.

"Alhamdulillah, setakat ini mereka semuanya selamat. Kita melakukan pemantauan secara berterusan, selain bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa Perancis, dewan bandar raya dan Kementerian Luar bagi mengikuti perkembangan serta memberikan bantuan," katanya.

Mengulas keadaan semasa di Paris hari ini, Eldeen Husaini berkata secara keseluruhannya tenang, walaupun protes masih berlaku di beberapa kawasan.