Butterworth: Enam lelaki termasuk seorang majikan ditahan di sini, petang tadi, bagi membantu siasatan kes seorang wanita warga Indonesia disyaki didera sehingga melecur di seluruh badan di Tanjong Sepat, Selangor, tiga hari lalu.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Anuar Abdul Rahman berkata penahanan itu dilakukan dalam serbuan ke atas sebuah premis tayar di Jalan Merbau, Pusat Perniagaan Oren, kira-kira jam 6.30 petang.

Katanya, serbuan itu dilakukan sepasukan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman membabitkan D9, D7 dan D8 Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor bersama Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Kuala Langat serta dibantu Unit Forensik JSJ Pulau Pinang.