Temerloh: Empat kumpulan yang dipercayai aktif menyamun dan mencuri kabel projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) serta Telekom Malaysia (TM) di daerah ini akhirnya tumpas susulan penahanan 17 lelaki dalam beberapa serbuan sejak 12 Oktober lalu.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mohd Nasyim Bahron berkata kumpulan itu dikenalpasti sebagai Geng Ravi, Geng Kepala, Geng Dany dan Geng Mista.

Katanya, ahli empat kumpulan itu berjaya ditahan menerusi beberapa operasi oleh Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh bersama Task Force Cegah Jenayah Balai Polis Mentakab.

"Seramai 12 daripada suspek yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamine manakala seorang daripadanya mempunyai 15 rekod lampau berkaitan jenayah dan dadah," katanya dalam kenyataan malam ini.