KUALA LUMPUR: Anak syarikat milik penuh GDB Holdings Bhd (GDB), GDB Infra Sdn Bhd memperoleh subkontrak bernilai RM118.99 juta bagi Program Ramalan dan Amaran Banjir (PRAB) Fasa 3 di Sarawak.
GDB Holdings berkata, kontrak itu diberikan oleh kontraktor utama, I-Ilham Corporation Sdn Bhd kepada anak syarikatnya untuk kerja-kerja pembinaan dan penyiapan projek berkenaan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata projek berkenaan dijadualkan siap pada 29 November 2029 dan ia dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan kumpulan pada masa hadapan.
Sementara itu, dalam kenyataan berasingan, GDB berkata projek itu merupakan kontrak infrastruktur keempat yang diperolehnya di Sarawak, sekali gus meningkatkan nilai terkumpul kontrak pembinaannya di negeri itu kepada RM355.9 juta.









