KUALA LUMPUR: Kira-kira 200 anggota polis bantuan akan diambil bagi memperkukuh tahap keselamatan di sepanjang jajaran Laluan Rel Pantai Timur (ECRL), termasuk menangani kegiatan kecurian kabel yang setakat ini mengakibatkan kerugian hampir RM4 juta.
Pengambilan anggota berkenaan dirancang dilaksanakan secara berperingkat, dengan usaha sedang dilakukan untuk mempercepatkan penempatan awal seawal November ini, khususnya di lokasi yang dikenal pasti sebagai 'hotspot' atau kawasan panas.
Ketua Pegawai Eksekutif Malaysia Rail Link Sdn Bhd (MRL), Datuk Seri Darwis Abdul Razak, berkata isu kecurian kabel dipandang serius selepas beberapa kejadian dikesan sejak beberapa bulan lalu.
Beliau berkata, tiga kes kecurian kabel turut berlaku secara berturut-turut pada awal September lalu, menyebabkan isu berkenaan dibincangkan bukan saja di peringkat pengurusan, malah turut mendapat perhatian Lembaga Pengarah MRL.






