Kuala Lumpur: Tekong terbaik dunia, Syahir Rosdi tidak gentar sekiranya kekuatan dan corak permainannya dikaji pemain Thailand jika menerima tawaran beraksi dalam liga sepak takraw negara itu.

Sebaliknya, pemain berpengalaman itu melihat peluang beraksi di Thailand sebagai situasi menang-menang kerana dia juga berpeluang mengenal pasti kekuatan lawan, sekali gus meningkatkan persediaan menghadapi saingan di peringkat antarabangsa.

Dia mengakui berminat menerima tawaran daripada kelab Thailand kerana peluang beraksi bersama pemain ternama seperti Kritsanapong Nontakote, Sittipong, Pornthep Tinbangbon dan beberapa lagi yang mampu memberikan saingan lebih kompetitif berbanding diperolehnya di Malaysia.