KUALA LUMPUR: Kerajaan berhasrat melaksanakan pendekatan menyeluruh membabitkan semua kementerian dan agensi bagi membantu sektor semikonduktor memacu lebih banyak teknologi tempatan serta memperkukuh kerjasama dengan negara lain.

Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong, berkata kerjasama antara pasaran modal atau sektor kewangan dengan industri teknologi juga perlu diperkukuhkan bagi melahirkan lebih banyak syarikat tempatan yang memiliki teknologi sendiri, khususnya dalam sektor itu.

"Sektor semikonduktor adalah sektor yang amat penting kerana telefon, jam tangan, kenderaan elektrik (EV) dan kecerdasan buatan (AI) semuanya memerlukan teknologi semikonduktor," katanya kepada Bernama selepas menyampaikan ucapan pada majlis pelancaran Sidang Kemuncak AI dan Semikonduktor Selangor 2026 (AiSEM@Selangor), di sini, hari ini.