GEORGETOWN: Seorang pengerusi sebuah badan berkanun di Pulau Pinang dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini, atas 15 pertuduhan menerima rasuah berjumlah lebih RM800,000 antara Jun 2025 hingga Julai 2026.
Tertuduh, Datuk Dr Shaik Hussein Mydin, 53, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas semua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Irwan Suainbon.
Shaik Hussein dituduh secara rasuah menerima wang berjumlah RM847,107.61 melalui syarikat Aliran Ilham Sdn Bhd (AISB) dalam beberapa transaksi, dengan suapan bernilai antara RM45.51 hingga RM244,620 daripada pengarah ATSH Management Sdn Bhd (ATSH) Datuk R Albert Suresh.
Wang itu didakwa diterima sebagai upah melantik ATSH menjadi subkontraktor kepada AISB bagi menyiapkan sebuah blok asrama 10 tingkat dan kemudahan di Institut Kemahiran Tinggi PERDA (PERDA-TECH) di Bukit Panchor, Seberang Perai Selatan, menggunakan Sistem Binaan Industri (IBS) yang bernilai RM23,268,215.35.








