KUALA LUMPUR: Selepas 13 tahun mengharungi perjalanan seni, penyanyi dan pelakon, Azira Shafinaz akhirnya meraih pengiktirafan Festival Filem Malaysia (FFM) apabila tersenarai dalam lima calon terbaik (Top 5) kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik menerusi filem Tarung: Unforgiven.

Azira, 35, menyifatkan pencalonan pada FFM ke-35 itu sebagai penghargaan besar terhadap usaha dan penat lelahnya sepanjang bergiat dalam industri lakonan, selain merealisasikan impian yang disimpan sejak mula menceburi bidang berkenaan pada 2012.

Anggota trio De Fam itu mengakui tidak menyangka lakonannya dalam filem pecah panggung berkenaan mendapat perhatian sehingga melayakkannya bersaing dengan barisan pelakon berpengalaman bagi merebut trofi berprestij itu.