JOHOR BAHRU: Seorang ejen jualan kereta dihukum penjara 34 hari dan denda RM17,500 oleh Mahkamah Majistret di sini selepas mengaku bersalah atas tiga pertuduhan menipu pelanggan dalam urusan pembelian kereta membabitkan kerugian berjumlah RM102,050.
Tertuduh, Khoo Chiang Chee, 38, dijatuhi hukuman itu selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret A Shaarmini.
Mahkamah turut memerintah tertuduh dipenjara antara tiga hingga enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Tertuduh bagaimanapun gagal membayar denda berkenaan.
Mengikut ketiga-tiga pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, tertuduh didakwa memperdaya tiga pelanggannya hingga mendorong mangsa menyerahkan wang pendahuluan pembelian kereta syarikatnya bekerja berjumlah RM95,050.









