PETALING JAYA – NCT World Sdn. Bhd. (NCT), anak syarikat milik penuh NCT Alliance Berhad, telah memeterai memorandum kerjasama (MoC) dengan Perbadanan Teknologi Maklumat dan Ekonomi Digital Selangor (Sidec) sebagai salah satu usaha untuk melaksanakan pembangunan, penubuhan dan pemerkasaan Ekosistem Pembuatan Robotik Selangor.

MoC itu telah dimeterai bersempena SPARK 2026 – Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor ke-10 iaitu merupakan sebahagian daripada usaha yang lebih luas untuk meletakkan Selangor sebagai salah satu hab robotik dan pembuatan termaju terbesar di rantau ini.

Menerusi kerjasama ini, NCT akan berperanan sebagai rakan kongsi infrastruktur perindustrian, dengan NCT Smart Industrial Park (NSIP), Taman Perindustrian Terurus (Managed Industrial Park, MIP) pertama di Malaysia yang terletak di Wilayah Pembangunan Bersepadu Selangor Selatan (IDRISS), menjadi salah satu pangkalan bagi inisiatif tersebut.