KUALA LUMPUR: Matrix Concepts Holdings Bhd (Matrix Concepts) diiktiraf antara 10 pemaju hartanah terbaik Malaysia dalam kategori Top of The Chart bagi syarikat dengan permodalan pasaran RM1 bilion ke atas pada Anugerah Pemaju Malaysia (MDA) 2026.

Pengiktirafan itu hadir ketika kumpulan berkenaan meraikan ulang tahun ke-30 penubuhannya tahun ini, mencerminkan rekod prestasi dalam aspek kewangan, inovasi dan pembangunan berteraskan komuniti.

Pengarah Urusan Kumpulan Matrix Concepts, Kelvin Lee, berkata pengiktirafan itu mencerminkan komitmen warga kerja, rakan niaga dan komuniti yang menyumbang kepada perkembangan kumpulan berkenaan sepanjang tiga dekad lalu.

Beliau berkata, kumpulan itu akan terus memperkukuh pembangunan perbandaran sedia ada serta meneroka peluang baharu yang mampu memberikan nilai jangka panjang kepada pemegang taruh.