JASIN: Seorang jurulatih renang berusia 27 tahun ditahan polis selepas disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah dengan rampasan pelbagai jenis bahan itu bernilai RM6.8 juta dalam dua serbuan di Melaka dan Johor.

Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, suspek ditahan di kawasan Tol Lipat Kajang, di sini, kira-kira 11.30 pagi, semalam.

Beliau berkata, penahanan itu dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin yang menjalankan sekatan jalan raya selepas mengesan suspek dalam keadaan mencurigakan.

Menurutnya, pemeriksaan terhadap kereta Toyota Vios yang digunakan suspek membawa kepada penemuan dadah disyaki ketamin seberat 3.70 gram dan MDMA (3,4 methylenedioxymethamphetamine) seberat 27.50 kilogram (kg) yang dibungkus dalam paket jus minuman di dalam dua kotak dan dimeterai.