KUALA LUMPUR: Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM) tampil memberi penjelasan berhubung isu royalti, ketelusan dan pembangunan industri muzik tanah air yang dibangkitkan Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan).
Dalam kenyataan media, RIM menegaskan beberapa fakta perlu diperbetulkan khususnya mengenai kutipan dan pengagihan royalti, peranan organisasi pengurusan kolektif (CMO), undang-undang membabitkan CMO serta arah tuju pembangunan industri.
Pengerusi RIM Rosmin Hashim berkata, ramai ahli Karyawan mendakwa tidak merasai peningkatan pendapatan daripada platform digital dan CMO ketika hasil industri meningkat, namun pengagihan royalti tertakluk atas pelbagai faktor.
Menurutnya, antaranya termasuklah hak yang diamanahkan kepada CMO, kadar royalti mengikut kontrak, penggunaan muzik sebenar, peraturan pengagihan CMO serta pendaftaran pemegang hak dengan CMO berkaitan.









