JAKARTA – Satu rakaman video tular di media sosial memaparkan kejadian luar biasa berpuluh-puluh khemah melayang di udara selepas diterbangkan angin kencang di tapak perkhemahan Gunung Sumbing, wilayah Jawa Tengah, lapor laman berita Detik News.
Menurut media tempatan, kejadian sekitar pukul 10 pagi (waktu tempatan) pada Selasa lalu itu berpunca daripada tindakan menjemur khemah-khemah tanpa dipasang pancang keselamatan.
Menerusi hantaran dimuat naik oleh akaun Instagram @infipop.id, khemah-khemah itu diletakkan di sebuah padang untuk dikeringkan selepas dicuci sebelum tiba-tiba terangkat dan diterbangkan pusaran angin kencang.
“Angin kencang melanda Basecamp Gunung Sumbing sehingga menerbangkan khemah-khemah yang sedang dijemur selepas dicuci,” demikian menurut hantaran tersebut.










