Kuala Lumpur: Seorang lelaki warganegara Malaysia dilaporkan ditahan Kastam (Bea Cukai) Indonesia selepas pihak berkuasa menemui dadah syabu seberat 1.5 gram bersamanya ketika tiba di terminal Lapangan Terbang Antarabangsa Kualanamu, pagi tadi.

Memetik laporan portal Analisadaily.com, suspek berusia 39 tahun berasal dari Negeri Sembilan itu ditahan kira-kira jam 8 pagi.

Lelaki itu dilaporkan tiba di lapangan terbang berkenaan dengan menaiki pesawat penerbangan AirAsia dari Kuala Lumpur.

Menurut pegawai Kastam Kualanamu yang enggan mendedahkan identitinya yang dipetik portal berkenaan, penahanan dibuat selepas pihak berkuasa mencurigai suspek ketika prosedur pemeriksaan badan dan barangan di terminal ketibaan.