KUALA LUMPUR - Cadangan pindaan Perlembagaan berkaitan pengehadan tempoh jawatan Perdana Menteri dan pengasingan peranan Peguam Negara serta Pendakwa Raya menjadi antara perkara utama yang dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja Ke-273. Mesyuarat dua hari itu, yang bermula semalam di Istana Negara dipengerusikan oleh Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah manakala Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berangkat hadir pada hari kedua dengan diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim. Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh Pejabat Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja pada Khamis, majlis memperhalusi Kertas Untuk Merundingi Majlis Raja-Raja Berkenaan Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2026 Mengenai Pengehadan Tempoh Jawatan Perdana Menteri. Selain itu, Majlis Raja-Raja turut disembah maklum mengenai Kertas Untuk Memaklumkan Majlis Raja-Raja Berkenaan RUU Perlembagaan (Pindaan)(No 2) 2026 Berkaitan Pengasingan Peranan Peguam Negara Dan Pendakwa Raya serta cadangan pindaan Seksyen 97 Akta Kanak-Kanak 2001. Majlis turut disembahkan taklimat terkini mengenai keselamatan negara oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail manakala Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Malek Razak Sulaiman menyembahkan taklimat pertahanan dan Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir menyembahkan taklimat ekonomi. Agenda lain yang dibincang termasuk pelantikan Hakim Mahkamah Khas dan penyandang Kursi Institusi Raja-Raja Melayu di Universiti Teknologi MARA, cadangan tarikh mesyuarat bagi tahun 2027 serta perkara berkaitan pentadbiran agama Islam di bawah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia seperti peluasan skop pengauditan Kumpulan Wang Zakat. Mesyuarat berkenaan turut dihadiri oleh semua Sultan, Raja dan Yang Dipertua Negeri termasuk Pemangku Raja Terengganu, Tengku Muhammad Ismail ibni Al-Wathiqu Billah Sultan Mizan Zainal Abidin, Tengku Mahkota Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Petra (mewakili Sultan Kelantan) dan Tunku Temenggong Johor, Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim (mewakili Pemangku Sultan Johor).- Bernama
Cadangan hadkan tempoh jawatan PM dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja

Key takeaways
Mesyuarat Majlis Raja-Raja membincangkan cadangan pindaan Perlembagaan mengenai pengehadan tempoh jawatan PM dan pengasingan peranan Peguam Negara.
- Cadangan pindaan Perlembagaan berkaitan pengehadan tempoh jawatan PM dibincangkan.
- Majlis juga membincangkan pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya.
- Agenda lain termasuk keselamatan negara, pertahanan, dan ekonomi.
Summarised automatically by AI from the original article by Sinar Harian. AI can make mistakes, so check the original for details.
Also reported by Malaysiakini (BM) , Free Malaysia Today , Harian Metro
Story details
- Published
- Section
- BERITA
- Language
- Malay (Malaysia)
- Format
- Article
- Original
- sinarharian.com.my ↗
Related reporting
6 stories on this topic from 5 sources, oldest first.
- Sinar Harian Cadangan hadkan tempoh jawatan PM dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Raja-Raja (this story)
- Free Malaysia Today Mesyuarat Majlis Raja-Raja turut bincang cadangan had tempoh jawatan PM









