Jasin: Seorang jurulatih renang disyaki terbabit dalam kegiatan pengedaran dadah ditahan polis dan pelbagai jenis dadah bernilai RM6.8 juta dirampas menerusi dua serbuan di Melaka dan Johor.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, suspek, 27, ditahan di kawasan Tol Lipat Kajang, di sini, kira-kira 11.30 pagi, semalam.
Katanya, penahanan itu dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik bersama Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin yang menjalankan sekatan jalan raya selepas mengesan suspek dalam keadaan mencurigakan.
Menurutnya, pemeriksaan terhadap kereta digunakan suspek membawa kepada penemuan dadah disyaki ketamin seberat 3.70 gram dan MDMA (methylenedioxymethamphetamine) seberat 27.50 kilogram (kg) yang dibungkus dalam paket jus minuman.










