KUALA LUMPUR: Transformasi digital dalam industri pembinaan perlu dilaksanakan secara inklusif bagi memastikan manfaatnya dapat dinikmati semua lapisan industri khususnya kontraktor kecil dan sederhana.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi, berkata pendigitalan menjadi keperluan penting bagi meningkatkan kecekapan, produktiviti dan daya saing industri pembinaan yang berhadapan pelbagai cabaran, terutama dalam pengurusan kos, pematuhan spesifikasi bahan dan penyiapan projek mengikut jadual.

"Transformasi digital mestilah inklusif dan memberikan manfaat kepada semua lapisan industri, termasuk kontraktor gred G1 hingga G7, khususnya kontraktor kecil dan sederhana melalui platform yang mudah digunakan serta sokongan yang bersesuaian," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran MENARABENA, sebuah platform digital perniagaan-ke-perniagaan (B2B) di sini hari ini.