BEIJING: Barisan Nasional (BN) tetap dengan pendirian untuk bertanding mempertahankan kesemua 21 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dimenangi gabungan itu sebelum ini, pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bulan depan.

Pengerusinya Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata BN bagaimanapun terbuka untuk berunding dengan mana-mana pihak berhubung baki tujuh kerusi lain yang tidak dimenangi gabungan itu pada pilihan raya lalu.

"Prinsip kita - 21 kerusi yang kita menang itu adalah kerusi yang kita tidak berhasrat untuk kongsikan. Jika mahu mengadakan perundingan pun, kita akan berunding atas tujuh lagi kerusi yang bukan dipunyai oleh BN," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.

Timbalan Perdana Menteri itu yang juga Presiden UMNO berkata, beliau menyerahkan mandat kepada Pengerusi BN negeri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh yang juga Ketua Menteri Melaka, untuk membuat keputusan muktamad berhubung bentuk kerjasama yang akan dimeterai selepas hari penamaan calon nanti.