KUALA LUMPUR: CelcomDigi Bhd dan Maxis Bhd menerima penganugerahan spektrum daripada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Anak syarikat milik penuh CelcomDigi, CelcomDigi Telecommunications Sdn Bhd (CDTel) memperoleh 2x20 megahertz (MHz) dalam jalur frekuensi spektrum 2600MHz dan 2x5MHz dalam jalur frekuensi spektrum 900MHz dengan jumlah harga sebanyak RM381.75 juta.

Dalam satu kenyataan, CelcomDigi memaklumkan bahawa peruntukan spektrum 2x20MHz dalam jalur 2600MHz adalah bagi tempoh empat tahun, manakala peruntukan spektrum 2x5MHz dalam jalur 900MHz adalah untuk tempoh lima tahun.

"Jalur frekuensi spektrum baharu ini akan meningkatkan kecekapan perbelanjaan modal syarikat dan akan memperkukuh kapasiti rangkaian dan kualiti perkhidmatan bagi menyokong peningkatan permintaan pelanggan terhadap kualiti dan kebolehpercayaan," menurut syarikat itu.