KUALA LUMPUR: Polis menahan tujuh lelaki termasuk seorang keldai dadah kerana disyaki terbabit sindiket penyeludupan dadah antarabangsa menerusi Ops Tebuan, membabitkan rampasan pelbagai jenis dadah bernilai RM18.16 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, berkata semua suspek, adalah enam lelaki tempatan dan seorang lelaki warga asing berusia lingkungan 34 hingga 58 tahun ditahan menerusi tujuh siri serbuan di Perak, Selangor dan Kedah antara 1 September hingga 4 Oktober lalu.

Beliau berkata, tangkapan pertama dilakukan di depan Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah, Ipoh, Perak pada 1 September, membabitkan suspek warga asing bersama 50 bungkusan lut sinar berisi ketulan mampat bunga ganja seberat 26.2 kilogram (kg).