PUTRAJAYA: Datuk Seri Anwar Ibrahim masih menerima cadangan rakyat mengenai Belanjawan 2027 ketika ditemui selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra di sini, hari ini, kurang sejam sebelum pembentangan belanjawan itu di Dewan Rakyat.
Perdana Menteri berkata, beberapa individu yang ditemuinya mengemukakan pelbagai cadangan, termasuk berkaitan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan perumahan.
"Ni jalan-jalan ni (selepas solat Jumaat), tiga empat orang ada cadang itu, ada cadang ini, ada sebut PTPTN.
"Ada seorang (sebut) fasal rumah... yang penting jalan," katanya kepada pemberita sambil memberitahu bahawa beliau mengambil maklum dan mencatat cadangan berkenaan.
Anwar tiba di masjid itu sekitar jam 1.04 tengah hari dengan mengenakan baju Melayu berwarna biru cair dan bersongkok.






