PUTRAJAYA: Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menunaikan solat Jumaat di Masjid Putra, di sini bersama ribuan jemaah.

Beliau tiba pada 1.04 tengah hari dengan mengenakan baju Melayu berwarna biru cair, lengkap bersongkok, sebelum disambut mesra oleh pengurusan masjid serta jemaah yang hadir lebih awal.

Khutbah dibaca oleh Ustaz Hazman Hashim bertajuk ‘Al-Quran Menyatukan Hati, Kasih Merentas Generasi’ yang antara lain mahu jemaah menjadikan al-Quran sebagai petunjuk yang membentuk akhlak dan kehidupan.

Dalam khutbah kedua, khatib turut menzahirkan harapan dan doa buat Perdana Menteri serta barisan kepimpinan negara menjelang pembentangan Belanjawan 2027.

Khatib berkata, pengurusan perbendaharaan negara adalah amanah berat yang perlu dilaksanakan berlandaskan kepentingan rakyat.