Kansas, Amerika Syarikat: Seekor iguana peliharaan yang melarikan diri selama kira-kira seminggu memerlukan campur tangan anggota bomba selepas ditemui berada di atas pokok tinggi dan enggan turun sendiri, lapor United Press International (UPI).
Jabatan Bomba Spring Hill memaklumkan menerusi hantaran di media sosial bahawa anggotanya dipanggil untuk membantu menangkap reptilia berkenaan selepas ia ditemui berada di atas pokok.
Iguana bernama Tasslehoff itu dilaporkan melarikan diri daripada pemiliknya kira-kira seminggu sebelum ditemui di sebatang pokok di Spring Hill.
Bagi membawanya turun, anggota bomba menggunakan jentera tangga dan meminjam galah penangkap daripada Jabatan Polis Spring Hill.








