Jiaozuo, China: Seorang pemilik restoran di China meraih pujian ramai selepas menghadiahkan kereta BMW baharu kepada dua pekerjanya yang cemerlang sebagai penghargaan terhadap usaha mereka, lapor South China Morning Post.

Ma Yanli, pemilik rangkaian hotpot daging lembu yang beribu pejabat di Jiaozuo, wilayah Henan di tengah China menghadiahkan sebuah BMW putih kepada Li Jie dan sebuah BMW kelabu kepada Liu Yingying.

Kedua-dua pekerja itu dibawa Ma ke bilik pameran untuk mengambil kereta masing-masing pada 24 September lalu. Setiap kereta bernilai 300,000 yuan (kira-kira RM180,000) dan dibeli kira-kira dua minggu lebih awal dan dibayar sepenuhnya, lapor Henan TV.

Li yang sudah lapan tahun berkhidmat di restoran berkenaan mengakui teruja menerima hadiah itu kerana tidak pernah menyangka majikannya akan menghadiahkan sebuah kereta kepadanya.