Bernama

Melaka: Seorang penganggur dihukum penjara 15 tahun oleh Mahkamah Tinggi Melaka, selepas mengaku bersalah atas pertuduhan pilihan membunuh rakan lelakinya di Pulau Sebang, Alor Gajah, enam tahun lepas.

Hakim Datuk D Suria Kumar menjatuhkan hukuman itu ke atas AS Sitambarasan, 34, bermula dari tarikh lelaki itu ditangkap pada 23 Sept 2020, selepas mengambil kira faktor kepentingan awam termasuk cara pembunuhan serta menghapuskan mayat.

Dalam penghakiman, beliau menasihati Sitambarasan agar insaf dan bertaubat serta tidak mengulangi kesalahan sama pada masa depan, kerana perbuatan itu turut membebankan keluarga sendiri.

"Di penjara nanti, saya harap awak renungkan...perkara ini tidak sepatutnya berlaku. Jika tidak, sekarang kamu bersama dengan ibu kamu yang sedang sakit kanser dan menjaganya. Isteri kamu pun kemalangan dan patah kaki. Kamu sepatutnya bersama dengan isteri, bantunya," katanya.