Jakarta: Seramai 17 anak kapal kargo Indonesia MV Khatulistiwa 8 berjaya diselamatkan, manakala mualim pertama kapal itu masih hilang selepas kapal berkenaan berlanggar dengan sebuah baj sebelum karam di perairan Tuban, Jawa Timur pada malam Rabu.

Pengarah Operasi PT Pertamina Trans Kontinental (PTK) Yudi Wibisono berkata dua kapal tunda kendalian syarikat itu yang bersiap sedia di perairan berhampiran telah diatur gerak selepas menerima isyarat kecemasan daripada kapal berkenaan pada Rabu malam.

"Sebaik menerima maklumat kecemasan itu, kami segera menyelaraskan tindakan dengan pihak berkuasa berkaitan dan mengatur gerak kapal terdekat untuk memberikan bantuan," katanya dalam satu kenyataan yang dipetik agensi berita Antara pada Khamis malam.