JAKARTA: Seramai 17 kru kapal kargo Indonesia, MV Khatulistiwa 8, diselamatkan, manakala ketua pegawai kapal itu masih hilang selepas kapal berkenaan bertembung dengan sebuah tongkang sebelum karam di perairan Tuban, Jawa Timur, pada malam Rabu.

Pengarah Operasi PT Pertamina Trans Kontinental (PTK), Yudi Wibisono, berkata dua bot tunda kendalian syarikat itu yang bersiap siaga di perairan berhampiran digerakkan selepas menerima isyarat kecemasan daripada kapal berkenaan pada malam Rabu.

"Selepas menerima maklumat kecemasan, kami segera berkoordinasi dengan pihak berkuasa berkaitan dan menggerakkan kapal yang paling hampir untuk memberikan bantuan," katanya dalam kenyataan yang dipetik agensi berita Antara pada malam tadi.