KUALA LUMPUR: Rodrigo Holgado mencuri tumpuan apabila berkongsi gambar dia memakai jersi Malaysia ketika sedang melakukan latihan kecergasan di dalam sebuah gim.

Penyerang berusia 31 tahun itu kelihatan giat menjalani latihan khususnya dalam meningkatkan tahap kecergasan sebelum kembali beraksi selepas penggantungannya berakhir hujung bulan ini.

Pemain kelahiran Argentina itu menjadi antara tujuh 'pemain Harimau Malaya' yang digantung 12 bulan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) susulan isu pemalsuan dokumen sebelum ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Ab Ghani Hassan dalam laporan sebelum ini mengesahkan tujuh pemain terbabit tidak boleh mewakili Malaysia meskipun tempoh penggantungan tamat dan mereka masih memiliki taraf kewarganegaraan Malaysia.