IPOH: Semua sekolah dan institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di Daerah Kinta dan Kuala Kangsar ditutup berikutan Indeks Pencemar Udara (IPU) mencatat bacaan tidak sihat susulan keadaan jerebu.
Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar berkata, penutupan itu berkuat kuasa serta merta hari ini sehingga dimaklumkan semula oleh JPN negeri.
Menurutnya, penutupan sekolah dibuat selepas bacaan IPU di stesen pemantauan di Tasek Ipoh mencatat bacaan IPU tidak sihat 180 setakat 11 pagi ini.
“Sehubungan itu pihak sekolah hendaklah melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran dari Rumah (PdPR) bagi memastikan kelangsungan pembelajaran murid.
“Guru-guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) melaksanakan Bekerja Dari Rumah (BDR) sepanjang tempoh penutupan, tertakluk kepada arahan dan keperluan semasa,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.









