KUALA LUMPUR – Sambutan Hari Sukan Negara (HSN) 2026 peringkat kebangsaan di Bukit Jalil yang dijadualkan esok, ditangguhkan susulan situasi jerebu sedang melanda beberapa kawasan di negara ini.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) hari ini memaklumkan tarikh baharu penganjuran akan diumumkan kelak, tertakluk kepada pemulihan kualiti udara ke tahap yang selamat bagi aktiviti luar.

Menurut KBS, keputusan berkenaan dibuat atas nasihat dan persetujuan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari serta menjunjung kasih atas keprihatinan dan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim berhubung keadaan jerebu yang melanda negara.

KBS memaklumkan ia dibuat sebagai langkah proaktif dan berjaga-jaga bagi mengelakkan sebarang risiko kesihatan kepada para peserta, penganjur dan orang ramai.