SHAH ALAM: Sambutan Hari Sukan Negara 2026 peringkat negeri dan daerah di seluruh Selangor yang dijadualkan esok ditangguhkan susulan keadaan jerebu semakin membimbangkan, dengan tarikh baharu akan dimaklumkan kelak.

EXCO Belia, Sukan dan Keusahawanan negeri, Mohd Najwan Halimi, berkata keputusan itu dibuat dengan mengutamakan keselamatan dan kesihatan rakyat, khususnya peserta, petugas, sukarelawan serta kanak-kanak dan golongan yang lebih terdedah kepada kesan pencemaran udara.

"Bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di beberapa kawasan di Selangor telah berada pada tahap tidak sihat, sekali gus menimbulkan risiko kepada orang ramai sekiranya aktiviti fizikal diteruskan dalam keadaan semasa.

"Pendirian kerajaan negeri adalah jelas, keselamatan dan kesihatan rakyat mesti mengatasi pertimbangan untuk meneruskan sesuatu program," katanya dalam kenyataan hari ini.