IPOH - Semua sekolah di daerah Kinta dan Kuala Kangsar di negeri ini ditutup serta-merta susulan situasi semasa jerebu yang merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat mencecah 180.Pengarah Pendidikan Perak, Zulkafli Mohamed Mokhtar berkata, bacaan itu direkodkan di stesen pemantauan CA11A di Tasek, Ipoh pada jam 11 pagi pada Jumaat.Menurutnya, semua sekolah dan institusi pendidikan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) di bawah Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) terlibat ditutup mengikut tempoh yang ditetapkan."Sekolah terlibat perlu melaksanakan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) bagi memastikan proses pembelajaran murid dapat diteruskan sepanjang tempoh penutupan."Guru-guru dan Anggota Kumpulan Pelaksana (AKP) juga perlu melaksanakan Bekerja Dari Rumah (BDR) sepanjang tempoh berkenaan, tertakluk kepada arahan dan keperluan semasa," katanya dalam kenyataan di sini.Beliau berkata, PPD terlibat diminta memastikan maklumat penutupan disampaikan kepada semua sekolah, institusi pendidikan, guru, AKP, ibu bapa, penjaga dan murid di daerah masing-masing.Katanya, ibu bapa dan penjaga juga diminta mengikuti perkembangan serta pengumuman rasmi JPN Perak dari semasa ke semasa, khususnya berkaitan tarikh pembukaan semula sekolah dan institusi pendidikan."Pihak sekolah akan terus memantau keadaan semasa serta mengutamakan keselamatan, kesihatan dan kebajikan murid serta warga pendidikan sepanjang tempoh penutupan," katanya.Pada Khamis, Ketua Pengarah Pendidikan, Datuk Dr Mohd Azam Ahmad dilapor berkata, semua institusi pendidikan di bawah KPM di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 180 ditutup pada Jumaat.Penutupan itu susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim supaya keselamatan dan kesihatan murid serta warga pendidikan diberi keutamaan berikutan keadaan jerebu yang melanda negara.Bagi institusi pendidikan di kawasan yang mencatatkan bacaan IPU melebihi 150 secara berpanjangan selama tiga hari berturut-turut pula akan ditutup bermula Isnin ini.