PETALING JAYA – Agrobank memperluas usaha pembangunan bakat dalam sektor agromakanan menerusi Projek Tanaman Lestari Sekoi yang memberi pendedahan praktikal kepada pelajar Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam pertanian lestari, inovasi dan keusahawanan.

Dilaksanakan dengan kerjasama Bahagian Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (BPLTV), ia melibatkan enam institusi TVET pertanian terpilih dan akan dilaksanakan secara berperingkat dari Oktober 2026 hingga September 2027.

Projek ini dijangka memberi manfaat kepada seramai 775 pelajar dengan kawasan tanaman keseluruhan seluas enam ekar, merangkumi enam institusi kolej pertanian vokasional seluruh negara.

Sebagai tanaman yang tahan lasak, sekoi sangat cekap menggunakan sumber dan mampu mandiri dalam keadaan gersang, biarpun kurang bertoleransi terhadap banjir jangka panjang.