LAUT bukan sekadar hamparan biru mengelilingi negara. Di dalamnya terkandung sumber makanan, tenaga, biodiversiti, peluang pekerjaan, jaringan perdagangan serta potensi besar untuk menjana ekonomi bernilai tinggi.
Namun, persoalan lebih penting ialah sejauh mana kekayaan berkenaan dapat diterjemahkan kepada nilai ekonomi domestik, kesejahteraan masyarakat dan kelestarian alam sekitar.
Dalam konteks ini, ekonomi biru perlu dilihat bukan sekadar sebagai satu lagi sektor ekonomi tetapi sebagai pendekatan pembangunan yang menghubungkan sumber laut, pesisir pantai dan ekosistem air dengan pertumbuhan ekonomi, keterjaminan makanan, inovasi, pekerjaan berkualiti dan kesejahteraan rakyat.
Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK13) memberikan asas jelas ke arah berkenaan apabila ekonomi biru diletakkan sebagai antara daripada 10 keutamaan di bawah Tonggak A iaitu meningkatkan kerencaman ekonomi melalui A3 – Pemerkasaan Ekonomi Biru.






