GEORGETOWN: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menetapkan 14 Oktober ini untuk mendengar hujahan pada akhir kes pembelaan dalam perbicaraan kes empat lelaki yang didakwa membunuh remaja T. Nhaveen, sembilan tahun lalu.

Hakim Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid menetapkan tarikh itu selepas prosiding bela diri yang bermula semalam selesai lebih awal daripada jangkaan.

"Saya ingin mengingatkan pihak-pihak bahawa kes ini membabitkan dua pertuduhan, iaitu di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan Seksyen 326 Kanun Keseksaan ketika itu.

"Jadi, dalam merakam hujahan masing-masing, sila buat hujahan membezakan antara kedua-dua pertuduhan dan keterangan yang dibuat," katanya selepas mendengar pernyataan saksi terakhir semasa prosiding membela diri atas pertuduhan membunuh Nhaveen.