Georgetown: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menangguhkan prosiding perbicaraan pembelaan empat lelaki yang didakwa membunuh remaja, T Nhaveen, kepada esok.

Hakim Datuk Mohd Radzi Abdul Hamid membenarkan dan menetapkan prosiding disambung pada 9.30 pagi esok selepas pihak pembelaan memohon penangguhan kerana memerlukan masa susulan penyerahan empat penyata saksi kepada pihak pendakwaan hari ini.

Peguam Maanveer Singh Dhillon yang mewakili keempat-empat tertuduh memaklumkan kepada mahkamah bahawa pihak pembelaan mempunyai masa yang terhad untuk bertemu dengan tertuduh di penjara bagi menyediakan penyata saksi berkenaan.

"Kita baru sahaja memuktamadkan penyataan saksi bertulis dan penyataan itu sudah siap. Kita akan serahkan kepada pihak pendakwan hari ini," katanya.