SIBU – Seekor buaya sepanjang 4.15 meter dengan berat lebih 400 kilogram berjaya ditangkap di Sungai Rajang berhampiran kawasan Stabau-Salim di sini pagi tadi, namun operasi memburu reptilia itu masih diteruskan susulan terdapat seekor lagi dipercayai bersaiz lebih besar di kawasan berkenaan.

Pemburu buaya berlesen Jeffery Siew berkata, reptilia itu ditangkap kira-kira 10 pagi oleh pasukannya yang dianggotai empat orang selepas usaha menjejakinya dilakukan sejak September lepas.

“Kami sudah memburu buaya ini sejak September dan akhirnya berjaya menangkapnya pagi tadi menggunakan mata kail berumpan. Bagaimanapun, operasi belum berakhir kerana kami masih menjejaki seekor lagi buaya yang dipercayai lebih besar,” katanya kepada Bernama hari ini.