KUALA LUMPUR: Kerajaan akan mempergiat penggunaan hampas isirung sawit (PKC) sebagai sumber alternatif makanan ternakan tempatan dan memperkukuh kesiapsiagaan sektor padi dalam menghadapi risiko perubahan iklim dan fenomena El-Nino.
Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) dalam satu kenyataan berkata, kedua-dua langkah itu dipersetujui dalam Mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Mengenai Dasar Keterjaminan Makanan Negara Bilangan 2 Tahun 2026, semalam.
Mesyuarat itu dipengerusikan bersama Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Amar Fadillah Yusof dan Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu serta menghimpunkan kementerian dan agensi berkaitan.
"Bagi sektor ternakan, penggunaan PKC akan diperkasa dan dioptimumkan sebagai alternatif lebih mampan bagi mengurangkan kebergantungan negara kepada bahan makanan ternakan import, selain membantu mengawal tekanan kos input penternakan," katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.








