KOTA KINABALU: Sebanyak 80 peratus daripada 1.14 juta ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) di Sabah mempunyai simpanan kurang daripada RM50,000, dengan golongan pekerja sektor tidak formal antara yang berdepan cabaran untuk membuat caruman secara konsisten.

Pengarah KWSP Wilayah Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Mohd Fadil Sarehan, berkata keadaan itu perlu diberi perhatian serius bagi memastikan rakyat Sabah mempunyai simpanan yang mencukupi dan selesa selepas tidak lagi bekerja.

Beliau berkata berbeza dengan pekerja sektor formal yang mempunyai caruman bulanan secara konsisten, golongan sektor tidak formal tidak mempunyai pendapatan tetap untuk membuat caruman kepada KWSP.

"Kalau kita lihat dari segi sektor formal, kita tidak ada kerisauan kerana mereka ada caruman bulanan. Tetapi yang kita risau ialah sektor informal seperti nelayan dan petani yang tidak konsisten menyimpan di KWSP.