KOTA KINABALU: Mahkamah Koroner di sini, hari ini, diberitahu bahawa arwah Zara Qairina Mahathir menjadikan ibunya sebagai tempat utama untuk meluahkan masalah, suka duka, serta bercerita mengenai persahabatannya.

Ibu arwah, Noraidah Lamat, 46, yang merupakan saksi ke-82 berkata hubungan mereka sangat rapat dan beliau bukan saja berperanan sebagai ibu, malah juga seorang kawan kepada anak tunggalnya itu.

"Hubungan saya dengan Zara Qairina memang rapat. Saya sebagai ibu, saya juga sebagai kawan.

"Apa saja perkara, yang susah, yang di sekolah, perkara lucu... semua kami akan bercerita bersama," katanya pada prosiding inkues di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan.

Beliau berkata, tiada orang lain di rumah yang menjadi tempat Zara Qairina meluahkan perasaan, justeru segala cerita mengenai suka duka dan persahabatan arwah dikongsi bersamanya.