PETALING JAYA: Dua wanita warga Australia mencipta sejarah baharu apabila menjadi individu pertama berenang tanpa bantuan dan tanpa henti mengelilingi Pulau Redang, semalam.
Menerusi acara khas dinamakan Ramble Round Redang 2026, Julie Boxsell, 55, dan Tara Grout, 54, memulakan renangan dari pantai hadapan Laguna Redang Island Resort pada pukul 8.15 pagi sebelum kembali ke lokasi sama pada pukul 4.44 petang.
Kedua-dua perenang berkenaan menamatkan cabaran berenang sejauh 23 kilometer (km) mengelilingi pulau berkenaan dalam tempoh 8 jam 28 minit 50 saat diiringi kru dari Perhentian Channel Swim yang menaiki bot pengiring dan kayak.
Acara julung kali itu dilaksanakan mengikut piawaian serta peraturan rasmi Persekutuan Perenang Maraton (Marathon Swimmers Federation – MSF), termasuk menetapkan perenang kekal berada di dalam air sepanjang masa serta dilarang menyentuh sebarang objek terapung atau bot.









