JAKARTA: Indonesia akan membuka ladang baharu untuk penanaman tebu yang digunakan dalam pengeluaran bioetanol, kata kerajaan, walaupun pada masa sama mengumumkan penghentian penerokaan hutan bagi meluaskan kawasan tanaman padi.

Kerajaan bulan lalu berkata, ia akan meningkatkan kandungan etanol yang digunakan untuk pengangkutan daripada lima kepada 20 peratus (E20), sebagai usaha mengurangkan kebergantungan terhadap import produk petroleum yang semakin mahal.

Bagi mencapai sasaran itu, negara berkenaan memerlukan kira-kira empat juta kiloliter etanol setahun, menurut Kementerian Tenaga, iaitu beberapa kali ganda berbanding pengeluaran ketika ini.

“Ladang tebu baharu diperlukan. E20 boleh dihasilkan daripada tebu, ubi kayu dan sebagainya… Jika kita mahukan tebu, kita perlu membuka ladang baharu,” kata Menteri Makanan, Zulkifli Hasan, seperti dipetik agensi berita negara Antara.